Negara yang sememangnya kaya dengan biodiversiti mempunyai pelbagai khazanah yang masih belum diterokai. Apabila membicarakan tentang biodiversiti, pasti ramai yang terbayang kawasan hutan yang tebal, tetapi tidak ramai yang mengendahkan mengenai kehidupan marin.
Malaysia yang terdiri daripada kawasan semenanjung dan sebahagian kepulauan Borneo dikelilingi dengan lautan yang menyimpan pelbagai jenis hidupan marin. Bukan saja ikan, udang, ketam dan sotong, malah terdapat batu karang dan rumpai laut yang mempunyai pelbagai manfaat kepada manusia.
Justeru seorang usahawan yang amat 'taksub' dengan rumpai laut mengambil langkah menjadikan organisma berkenaan sebagai bahan asas dalam sabun dan kosmetik yang diusahakan. Setelah puas mencari dan mengimport bertan-tan rumpai laut dari luar negara, ZakiahAbu Kasim akhirnya bersua juga dengan apa yang dicari.
" Ketika mengunjungi satu pameran anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu, saya mendapat tahu rumpai laut banyak diternak di Semporna, Sabah, " katanya semasa ditemui di salunnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keghairahnnya terhadap rumpai laut menyebabkan LKIM menyalurkan bantuan dan mengatur pertemuan antara Zakiah dengan beberapa penyelidik seperti dari Universiti Malaya (UM), SIRIM dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).
" Mereka banyak membantu sehingga saya dapat menghasilkan sabun yang menggunakan bahan asas rumpai laut dan tanah liat,"katanya.
Minat yang mendalam mengenai rumpai laut menyebabkan Zakiah melayari internet mencari kegunaan lain rumpai laut. Beliau mendapati rumpai laut bukan saja digunakan untuk membuat agar-agar, tetapi juga dalam kosmetik, makanan kesihatan dan perubatan.
Misalnya ekstrak carragenan daripada rumpai laut digunakan dalam ubat gigi, kosmetik, pembuatan kek dan pewarna. Jika sebelum ini, Zakiah mengimport rumpai laut tetapi kini beliau mengikat kontrak membeli rumpai laut yang diternak di Semporna.
Bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) di Semporna, Zakiah mengajar mereka kaedah memproses rumpai laut dan pihaknya membeli semula. Rumpai laut yang telah diproses kemudian dihantar ke kilangnya di Pelabuhan Klang, Selangor.
Walaupun telah lama bertapak dalam industri rumpai laut terutama dalam pembuatan sabun, Zakiah bergiat dalam pasaran antarabangsa.Sehingga kini sabun dengan jenama Taharah telah berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK), Kanada, Brunei, Australia, Singapura dan yang paling terbaru Perancis.
Kajian yang dilakukan mendapati sabun Taharah yang bahan asasnya adalah rumpai laut dan tanah liat amat istimewa dalam menjaga kesihatan dan kecantikan. Rumpai laut yang kaya dengan Vitamin A, C dan E ditambah dengan mineral dan zat galian seperti magnesium, sodium, kalsium dan potasium dapat mengurangkan jerawat, bintik hitam serta penyakit kulit.
Kini Zakiah telah mengeluarkan sebanyak tujuh produk berasaskan rumpai laut bagi kegunaan di salun miliknya di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur. Di sana, Zakiah menawarkan pelbagai pakej kecantikan menggunakan bahan yang berasaskan rumpai laut.
Bagi mempelbagaikan lagi produk yang berasaskan rumpai laut, Zakiah berura-ura menghasilkan makanan dan minuman kesihatan berasaskan rumpai laut.
"Mengapa kita perlu mengagung-agungkan bahan-bahanyang diambil dari negara-negara luar sedangkankita sendiri mempunyai khazanah yang setanding dengannya," tambah beliau sambil melahirkan rasa terima kasih kepada LKIM yang banyak membantunya dalm industri rumpai laut.
Sesiapa berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk Taharah bolehlah melayari laman web www.taharah.com.my
|